NADI Cybersecurity telah membawakan perkongsian bermanfaat melalui Video 5: Phishing Ancaman Pautan Palsu, yang memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai bahaya pautan palsu yang sering digunakan oleh penjenayah siber untuk mencuri maklumat peribadi dan kewangan mangsa.
Dalam sesi ini, peserta diterangkan tentang bagaimana serangan phishing berlaku apabila pengguna menerima pautan melalui SMS, emel, aplikasi mesej atau media sosial yang kelihatan sah tetapi sebenarnya direka untuk memperdaya mangsa. Pautan tersebut biasanya membawa pengguna ke laman web palsu yang menyerupai laman rasmi bank, agensi kerajaan atau syarikat terkenal bagi mendapatkan maklumat sensitif seperti kata laluan, nombor kad pengenalan, nombor akaun bank dan kod TAC.
Peserta turut didedahkan dengan tanda-tanda pautan mencurigakan seperti alamat laman web yang tidak tepat, penggunaan domain yang pelik – “tiada https://”, mesej yang mendesak tindakan segera serta tawaran yang terlalu menarik untuk dipercayai. Selain itu, peserta diingatkan agar sentiasa menyemak kesahihan pautan sebelum menekannya dan hanya mengakses laman web melalui saluran rasmi.
Diharapkan selepas menonton video ini, peserta dapat mengenali ancaman phishing dengan lebih baik, lebih berhati-hati ketika menerima pautan daripada sumber yang tidak dikenali, serta mampu melindungi diri dan keluarga daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.


