NADI Cybersecurity telah membawakan topik hangat berkenaan “Bagaimana Hak Bantuan Anda Boleh Dicuri”. Sesi kali ini memberi penerangan yang jelas tentang bagaimana pihak tidak bertanggungjawab menggunakan maklumat peribadi seseorang untuk menyalahgunakan identiti mereka dan membuat tuntutan bantuan, subsidi atau insentif kerajaan tanpa pengetahuan pemilik sebenar.
Peserta diberikan pendedahan tentang bagaimana situasi ini boleh berlaku apabila maklumat seperti nombor kad pengenalan, nombor telefon, kata laluan atau kod TAC dikongsi kepada individu yang tidak dikenali. Selain itu, peserta turut didedahkan dengan pelbagai taktik yang digunakan oleh scammer seperti panggilan telefon palsu, mesej yang mengandungi pautan mencurigakan serta laman web palsu yang menyerupai portal rasmi bantuan kerajaan bagi memperdaya mangsa.
Dalam sesi ini juga, peserta digalakkan untuk sentiasa menyemak status permohonan bantuan melalui saluran rasmi, tidak berkongsi maklumat peribadi dengan pihak yang tidak dikenali, serta mengaktifkan ciri keselamatan tambahan pada akaun yang digunakan untuk urusan bantuan dan perkhidmatan kerajaan. Peserta turut diingatkan supaya berhati-hati terhadap sebarang tawaran bantuan yang meminta bayaran pendahuluan atau maklumat sensitif.
Diharapkan selepas program ini, peserta dapat mengenali tanda-tanda penipuan berkaitan bantuan kewangan, lebih berwaspada dalam melindungi maklumat peribadi, serta memastikan hak bantuan yang layak diterima tidak disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.


